Noor Atiqah Sulaiman


KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya selesai memberi keterangan selepas hampir empat jam disoal siasat polis tadi.

Menurut kenyataan dikeluarkan SPRM, selain Latheefa, turut memberi keterangan pada polis adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki serta lima pegawai lain.

Kesemua mereka memberikan keterangan secara berasingan antara 2.45 petang hingga 6.30 petang tadi.

Difahamkan keterangan berkenaan bagi membantu siasatan polis berhubung sembilan rakaman audio didakwa membabitkan kes berprofil tinggi yang didedahkan SPRM dalam satu sidang media 8 Januari lalu.

Pasukan penyiasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diketuai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman dari Unit Siasatan Jenayah Khas, Bukit Aman.

Terdahulu pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan nama 20 individu yang perbualan mereka dirakam, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Senarai itu termasuk beberapa tokoh asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan selama 45 minit yang diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.

Semua rakaman percakapan yang didedahkan itu berlaku antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016, diperoleh SPRM awal tahun ini daripada entiti tidak didedahkan, malah agensi antirasuah berkenaan menaruh keyakinan rakaman terbabit adalah tulen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 7:39 PM