Farah Marshita Abdul Patah


KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, mempertahankan tindakannya mengadakan sidang media memperdengarkan sembilan klip rakaman audio membabitkan beberapa individu berprofil tinggi sebagai peringatan kepada orang ramai.

Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Latheefa menegaskan kandungan rakaman perbualan telefon itu penting dan perlu didedahkan kepada masyarakat kerana membabitkan individu berkepentingan tinggi.

Tambahnya, adalah menjadi tugas beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk mendedahkan rakaman audio itu kepada orang ramai.

Latheefa selaku saksi ke-13 pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan hari ke-88 kes SRC International membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Ketika ditanya peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, apa yang diharap daripada orang ramai menerusi pendedahan itu, Latheefa berkata, ia bertujuan memastikan jabatan penting seperti Pejabat Peguam Negara, Pejabat Perdana Menteri dan SPRM tidak lagi terbabit dengan aktiviti jenayah.

Latheefa juga membantah cadangan Muhammad Shafee bahawa rakaman perbualan telefon itu dipintas secara tidak sah sebaliknya menyatakan perkara itu tidak dapat dipastikan dan kini berada dalam siasatan SPRM.

Muhammad Shafee: Anda setuju pintasan itu mungkin dibuat secara tidak sah?

Latheefa: Ya

Muhammad Shafee: Anda mendedahkan perkara itu tanpa mengetahui ia dirakam secara tidak sah, sebelum melakukan kesilapan itu?

Latheefa: Kesilapan apa? Saya tidak melihat itu sebagai kesilapan.

Mendengar jawapan itu, keadaan mahkamah mula bertukar tegang dan Latheefa dilihat terus mempertahankan tindakannya.

Muhammad Shafee: Anda menyatakan terdapat kebarangkalian ia mungkin dirakam secara tidak sah. Tidakkah anda berasa ia perlu disiasat dan tidak perlu didedahkan kepada umum?

Latheefa: Ia bukan ini atau itu. Kami masih boleh mendedahkan perkara itu dan pada masa yang sama menjalankan siasatan.

Terdahulu, Latheefa menceritakan beliau menerima sampul surat mengandungi sembilan pemacu kilat dan nota menjelaskan isi kandungannya pada 3 Januari 2020.

“Sampul surat itu diterima daripada pegawai khas Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang dihantar ke rumahnya.

“Saya kemudian dengan segera mengarahkan pasukan saya untuk melihat isi kandungan dokumen itu,” katanya.

Menjawab soalan Muhammad Shafee adakah menjadi amalan SPRM untuk mendedahkan nama individu dalam pendedahan oleh suruhanjaya itu, Latheefa menjawab: “Ya.”

Muhammad Shafee: Perkara itu dilakukan oleh SPRM?

Latheefa: Ya, sebagai contoh skandal air Sabah, di mana seluruh jabatan itu terbabit dan wang ditemui serta pengarahnya dikenal pasti.

Pada 8 Januari lalu, SPRM menerusi sidang media memainkan sembilan klip rakaman audio mengandungi perbualan telefon antara individu berprofil tinggi antaranya Najib, Datuk dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Zulkifli Ahmad membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal SRC International.

Terdahulu, Muhammad Shafee menjelaskan Latheeda disapina oleh pihak pembelaan bagi memberi keterangan berhubung kesahihan rakaman itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 6:26 PM