KANAK-kanak pelarian Syria di Aarsal melalui bulan yang sukar apabila mengharungi suhu sehingga -5 darjah celsius. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
KANAK-kanak pelarian Syria di Aarsal melalui bulan yang sukar apabila mengharungi suhu sehingga -5 darjah celsius. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SUHU sehingga -5 darjah celsius dan hujan salji menjadi mimpi ngeri buat kira-kira 80,000 pelarian Syria di 1,400 kem di kawasan pergunungan Arsaal, Lubnan sejak bulan lalu.

Wartawan Harian Metro bersama pasukan sukarelawan Aman Palestin menuju ke kawasan terbabit semalam selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan Lubnan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan tempatan, Union of Relief and Development Association untuk melihat keadaan mereka.

Perjalanan itu memakan masa selama dua jam dari Lembah Beqaa melalui jalan berbukit.

Kawasan pergunungan berkenaan menjadi tumpuan pelarian kerana ia bersempadan dengan Syria menyebabkan ramai yang menjadikannya sebagai tempat berlindung.

Pemerhatian wartawan di 13 kem di kawasan itu mendapati ada antara pelarian terpaksa membakar pakaian dan barangan terpakai untuk memanaskan badan.

Ada antara keluarga pelarian juga terpaksa menagih air bersih daripada rakyat tempatan kerana ketiadaan bekalan air ketika musim sejuk di kem berkenaan.

Berkongsi kisah berkenaan, Ammar Mattab, 32, berkata, minggu lalu adalah detik paling sukar buat dia sekeluarga apabila terpaksa melalui salji tebal.

“Air yang disimpan kedinginan, minyak tanah yang dijadikan sebagai bahan pembakar juga habis hingga kami terpaksa membakar pakaian dan barang terpakai yang lain untuk memanaskan badan.

“Kebanyakan penghuni tidak keluar dari khemah dan hanya berkurung untuk masa yang agak panjang,” katanya.

Ammar yang kudung tangan kanan berkata, dia kehilangan tangannya kerana terkena bom ketika serangan tentera di Syria pada 2014.

“Keadaan itu menyebabkan saya tidak mampu bekerja dan terpaksa meninggalkan Homs serta menjadi pelarian sebelum berada di kem ini sejak 2015.

“Walaupun ada keluarga yang mengajak untuk kembali ke Syria tetapi saya masih trauma dengan apa yang terjadi,” katanya.

Rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib pelarian Syria dan Palestin boleh terus menyumbang kepada Aman Palestin menerusi akaun Maybank, 562263010787 atau untuk maklumat lanjut, boleh layari www.amanpalestin.net.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 5:55 PM