Foto hiasan
Foto hiasan
Mohd Sabran Md Sani

GANGGUAN bekalan produk insulin penfill oleh syarikat pembekal yang beroperasi di Johor menjadi punca bekalan itu di semua hospitàl kerajaan terjejas termasuk di Hospital Segamat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) belum menerima bekalan insulin terbabit dengan jumlah tertunggak 57,695 kotak bernilai RM1.8 juta sejak 5 Disember lalu.

“Sebagai alternatif, bagi mengelak bekalan kepada pesakit terputus, pihak hospital di seluruh negeri mengambil inisiatif tambahan dengan membuat pinjaman dari hospital lain.

“Pihak hospital turut membuat pembelian insulin bagi menampung kegunaan pesakit,” katanya.

Beliau berkata, ia adalah inisiatif jangka pendek sementara menunggu bekalan bagi pesanan tertunggak daripada pembekal kontraktor CCM Pharmaceuticals Sdn Bhd dan Biocon Sdn Bhd.

“Pihak pembekal memberi jaminan bahawa kesemua pesanan tertunggak akan dapat dibekalkan sepenuhnya bermula Februari ini,” katanya.

Menurutnya, JKN mengambil maklum terhadap aduan yang tular di Facebook (FB) iaitu pesakit diarahkan untuk membeli alat suntikan insulin di farmasi swasta.

“Untuk makluman, insulin boleh dibekal dalam pelbagai cara, antaranya menggunakan vial dan secara penfill.

“Insulin yang dibekal secara vial amnya memerlukan pesakit untuk menggunakan picagari dan jarum pakai buang untuk mendapatkan dos manakala penfill pula memerlukan pesakit untuk memasangnya ke dalam alat pen yang dibekalkan secara percuma dan hanya perlu membeli jarum sahaja,” katanya.

Menurutnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sudah mengambil maklum perkara itu kerana pembelian insulin penfill ini adalah mengikut kontrak pusat dan diselia sepenuhnya oleh KKM.

Katanya, pihaknya akan berusaha sebaik mungkin bagi menjamin bekalan insulin kepada pesakit tidak terputus.

“Pesakit boleh berhubung terus dengan Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Johor di talian 07-2355120 untuk maklumat lanjut,” katanya.

Terdahulu, isu membabitkan isu insulin itu dikongsikan pemilik akaun FB Asking Bhaskaran selepas pesakit diabetis yang dibekalkan insulin bersama alat pen untuk suntikan jenis lama digantikan insulin jenis baharu terdapat di farmasi swasta.

Masalah itu diadukan kepada Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Dr Santhara Kumar Ramanaidu dan mendakwa pihak hospital memaklumkan masalah pembekal kilang insulin menjadi punca isu berkenaan.

Pihak hospital dikatakan hanya membekalkan insulin sahaja, manakala alat suntikan perlu dibeli di luar.

Dakwanya, kebanyakan pesakit berusia 60 tahun, tidak pandai menggunakan alat baharu kerana masalah penglihatan, uzur dan tidak mampu beli di luar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 10:43 AM