ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah Norida. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah Norida. FOTO Ihsan Bomba.
Syaherah Mustafa


CERIA dua beradik melapor diri ke sekolah, hari ini bertukar duka selepas rumah mereka di Kampung Cabang Tiga, Meranti, Pasir Mas musnah dalam kebakaran pada 11.40 pagi hari ini.

Nur Irdina Fadilah Mohd Alwi, 8, dan abangnya Mohamad Ikhwan Fitri, 9, meraung selepas melihat api marak membakar kediaman itu sekali gus meranapkan kelengkapan sekolah baru mereka.

Ibunya, Norida Awang, 42, berkata, mereka sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang kerana gagal menyelamatkan apa-apa barangan.

“Anak paling terkejut, apatah lagi pagi tadi mereka ceria untuk memulakan persekolahan tetapi menangis teresak-esak apabila pulang, melihat rumah yang sudah musnah.

“Lagipun, ketika ke sekolah tadi mereka memakai pakaian sekolah lama kerana saya risau ia kotor disebabkan hari pertama sekolah biasanya, mereka mengemas dan mencuci kelas terlebih dahulu.

“Tak sangka pakaian mereka yang sudah tergantung dan siap digosok, musnah terbakar. Pilu hati saya melihat kediaman kami hangus ditambah dengan tangisan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norida berkata, ketika kejadian itu, dia berada di kedai tempatnya bekerja dan bergegas pulang selepas dimaklumkan penduduk kampung.

Dia juga bersyukur suaminya, Mohd Alwi Mohamad, 43, yang mengalami cirit birit dan tidak sihat sempat menyelamatkan diri.

“Saya sedih dengan apa yang terjadi kerana kami sudah tiada apa-apa, namun bersyukur kerana tiada nyawa yang terkorban.

“Buat sementara waktu, saya akan menumpang di rumah saudara-mara dahulu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Penolong Penguasa Bomba Sapawi Setapa berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 11.45 pagi.

Katanya, 19 pegawai dan anggota dari Balai Bomba Pasir Mas dan Wakaf Bharu ke lokasi dan kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 15 minit.

“Kediaman ini adalah rumah berkembar yang dihuni dua keluarga. Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 3:52 PM