FADILAH A. Rahman, (kiri) dan Farah Fauzana Zainul Kamar, (kanan) pada sidang media Program Ceria Popstar Xtra di The Gardens Theatre, Kuala Lumpur. FOTO Azhar Ramli
FADILAH A. Rahman, (kiri) dan Farah Fauzana Zainul Kamar, (kanan) pada sidang media Program Ceria Popstar Xtra di The Gardens Theatre, Kuala Lumpur. FOTO Azhar Ramli
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Wang tunai berjumlah RM20,000 menanti juara bagi rancangan realiti nyanyian Ceria Popstar Xtra yang akan menampilkan bakat-bakat cilik tanah air.

Ceria Popstar Xtra adalah kesinambungan daripada rancangan Ceria Popstar sebelum ini dan dilihat sebagai titik permulaan bagi bakat-bakat muda untuk menyinar dan menjadi pelapis dalam industri seni.

Ketua Kandungan Kanak-Kanak Astro, Farah Fauzana Zainul Kamar berkata, pihaknya membawa kembali peserta yang pernah diuji tahun lalu memandangkan ia tidak dapat dilaksanakan ketika itu akibat pandemik Covid-19.

"Kami merasakan bakat-bakat ini harus diberikan peluang sekali lagi untuk menyerlah kemampuan mereka dan sayang sekali jika mereka tidak bertanding," katanya.

Menurutnya, format kali ini mempunyai kelainan tersendiri daripada musim-musim terdahulu dengan adanya penerapan elemen yang mampu menarik minat penonton.

"Format kali ini ternyata berbeza dengan penerapan elemen 'gaming' yang begitu sebati dengan minat generasi muda kita. 'Xtra Life' adalah imuniti yang diberikan oleh juri untuk menyelamatkan peserta daripada penyingkiran.

"Kami berharap program ini mampu memberikan keseronokan dan hiburan kepada semua penonton seperti mana mereka menikmati Ceri Popstar pada musim-musim terdahulu," katanya.

Nabil Ahmad dan Elly Mazlein akan menggalas tugas sebagai pengacara program selain turut menampilkan Johan Raja Lawak dan Mas Idayu sebagai juri tetap yang akan menilai setiap peserta.

Seramai 10 peserta bakal bersaing merebut kejuaraan dalam Ceria Popstar Xtra yang akan bersiaran selama lapan minggu bermula 29 Jun ini di saluran Astro Ceria.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 12:55 PM