DUA rumah musnah dalam kebakaram di Kampung Telaga Mas, Rantau Panjang. FOTO Ihsan bomba
DUA rumah musnah dalam kebakaram di Kampung Telaga Mas, Rantau Panjang. FOTO Ihsan bomba
Syaherah Mustafa

“API marak dengan cepat, syukur kerana saya sempat menyelamatkan nenek berusia 100 tahun yang hanya terlantar di tilam,” kata Abdullah Abd Rahman, 32.

Pada kejadian jam 1.40 petang tadi, dia dikejutkan dengan jeritan jiran memberitahu kediaman neneknya yang terletak bersebelahan rumahnya terbakar.

Abdullah bergegas ke rumah itu sebelum menggendong keluar neneknya yang uzur.

Abdullah berkata, selain rumah neneknya, kediaman ibu bapanya yang terletak bersebelahan turut musnah dijilat api.

“Saya bertugas sebagai guru di Pulau Pinang dan baru dua hari pulang ke kampung sempena cuti sekolah.

“Ketika kejadian, ada 15 orang di rumah termasuk saya empat beradik, ipar serta anak-anak. Kami sedang berehat selepas solat Zuhur dan menunggu untuk makan tengah hari.

“Sebaik keluar dan melihat api semakin merebak, saya menjerit meminta ahli keluarga keluar,” katanya ditemui di lokasi.

Menurut Abdullah, pelbagai barangan termasuk dokumen penting gagal diselamatkan.

Katanya, dua rumah berkenaan hangus begitu sahaja di depan mata mereka namun dia tetap bersyukur kerana mereka semua, termasuk ibu, Ramlah Daud, 66, dan bapa Abdul Rahman Sulaiman, 64, selamat.

“Saat api marak, saya umpama tidak mampu berbuat apa-apa, hanya terdengar laungan azan daripada orang yang datang membantu dan Alhamdulillah, ada yang menelefon bomba untuk memadamkan api.

“Buat sementara waktu, kami sekeluarga menumpang di rumah saudara mara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Rantau Panjang Imran Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 1.42 petang.

“Seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang dan Pasir Mas dikerah ke lokasi.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 9:05 PM