SONDOS menunjukkan gambar anaknya, Yehia Hamuda. FOTO Reuters
SONDOS menunjukkan gambar anaknya, Yehia Hamuda. FOTO Reuters
Reuters

Rafah: Bayi pramatang Palestin, Yehia Hamuda yang lahir dua bulan lebih awal ketika perang, dipindahkan ke selatan Gaza, selepas tentera Israel menyerbu hospital tempatnya dirawat di utara.

Sejak itu, ibu bapanya tidak dapat melihatnya selepas mereka terperangkap di utara.

Lebih menyedihkan, ibu, Sondos dan bapanya, Zakaria hanya dapat menatap gambar Yehia yang kini berusia lima bulan, menerusi telefon bimbit di rumah mereka di Jabalia di utara Gaza.

Sondos berkata, keadaan terlalu bahaya untuknya melakukan perjalanan sejauh 30 kilometer (km) dari Jabalia ke Rafah.

"Terdapat kereta kebal dan jentolak. Saya dan suami tidak boleh pergi.

"Mereka (tentera Israel) akan membunuh kami. Saya takut anak saya akan hidup sendirian," katanya.

Yehia dilahirkan pada 27 November 2023, tujuh minggu selepas konflik terbaharu Israel dan Hamas tercetus. Ia selepas pejuang Hamas menyerbu selatan Israel dan melancarkan serangan yang mengorbankan 1,200 orang pada 7 Oktober lalu.

Menurut pihak berkuasa kesihatan di Gaza, serangan Israel pula membunuh lebih 34,000 orang dan memusnahkan sebahagian besar wilayah itu.

Dengan liputan komunikasi yang terputus, tiga bulan berlalu sebelum ibu bapa Yehia dapat menghubungi hospital yang menjaga anak mereka di Rafah, dan memeriksa keadaannya.

Mereka tinggal di Jabali dan bimbang tidak akan mendapat tempat tinggal di Rafah.

"Selepas tiga bulan, saya melihat gambarnya di telefon bimbit. Saya nak pegang dia. Saya mahu menyusukan dia. Setiap hari, dada saya sakit. Saya tidak boleh hadapi semua ini," katanya.

Yehia kini dijaga oleh jururawat dan kakitangan perubatan Hospital al-Emirati di Rafah.

Jururawat di hospital itu, Amal Abu Khatla berkata, keadaan Yehia amat sukar ketika bayi itu tiba dari utara Gaza.

"Selepas seminggu, kesihatannya bertambah baik tetapi kami terputus hubungan dengan ibu bapanya, sehingga kami menyangka ibu bapanya syahid (dibunuh).

"Dia menjadi anak unit neonatal dengan semua orang mengambil tanggungjawab untuk menjaganya.

"Dia sangat disayangi, dan kami memberi banyak perhatian kepadanya," katanya.

Bapa Yehia, Zakaria, ingin bertemu semula dengannya.

"Satu-satunya harapan saya dalam hidup adalah untuk menggendong anak saya dan supaya Tuhan mempertemukan kami dengan anak kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 2:32 PM