KEADAAN kereta yang terbabit dalam kejadian kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan Pulau Nyior. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kereta yang terbabit dalam kejadian kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan Pulau Nyior. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


ENAM beranak terselamat meskipun kereta dinaiki mereka remuk dalam kemalangan membabitkan dua kereta di persimpangan lampu isyarat Sekolah Kebangsaan Pulau Nyior, di Jitra, hari ini.

Dalam kejadian 8 pagi itu, pemandu kereta Proton Wira, Mazlan Abdullah, 39, bersama lima anaknya berusia antara 4 hingga 11 tahun hanya cedera.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 8.18 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Che Kob Che Dan tiba di lokasi 8.27 pagi.

“Operasi disertai tujuh anggota bersama dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan dua kereta iaitu Toyota Altis dan Proton Wira namun pemandu dan penumpang kedua-dua kereta tidak tersepit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, semua mereka dibawa ke Hospital Jitra oleh pasukan perubatan dan kenderaan awam bagi mendapatkan rawatan sebelum kehadiran anggota bomba.

Tindakan anggota BBP Jitra mencuci sisa kemalangan di lokasi kejadian dan memastikan jalan raya dapat digunakan seperti biasa.

“Jentera EMRS ke Hospital Jitra untuk mendapatkan maklumat mengenai mangsa dan dimaklumkan oleh pihak Unit kecemasan Hospital Jitra semua mangsa sedang dirawat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 1:30 PM