KEADAAN Proton Wira yang dinaiki dua beradik yang terbabas dan melanggar pokok menyebabkan pemandunya maut di Felda Bukit Tangga. FOTO Ihsan Bomba.
KEADAAN Proton Wira yang dinaiki dua beradik yang terbabas dan melanggar pokok menyebabkan pemandunya maut di Felda Bukit Tangga. FOTO Ihsan Bomba.
Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Lelaki maut selepas kereta Proton Wira yang dipandunya terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan, di Felda Bukit Tangga, di sini hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi itu, penumpang hadapan kereta itu yang juga remaja perempuan berusia 17 tahun yang dipercayai adik mangsa cedera akibat kemalangan itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 7.14 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam yang diketuai Nazari Kasa tiba di lokasi pada 7.31 pagi.

"Operasi disertai tujuh anggota dan dua jentera termasuk bantuan polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Setibanya di lokasi, didapati terdapat seorang mangsa iaitu pemandu kereta berusia 20-an dalam keadaan tersepit dalam kereta terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, anggotanya mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat khas.

Beliau berkata, adik mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh anggota dari jentera EMRS sebelum menghantar mangsa ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 10:30 AM