KEADAAN lori mangsa. FOTO Ihsan Bpmba
KEADAAN lori mangsa. FOTO Ihsan Bpmba
Zuliaty Zulkiffli


PEMANDU lori maut selepas lori muatan air mineral dipandunya terbabas sebelum merempuh pagar batu Ma’ahad Tahfiz Al-Najah, Air Hitam, di Jitra, hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa, Ahmad Ismail, 58, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.10 tengah hari berhubung kemalangan itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Che Kob Che Dan tiba di lokasi, jam 12.34 petang.

“Operasi disertai seramai tujuh anggota bersama dua jentera termasuk jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, mayat mangsa dikeluarkan anggotanya dengan menggunakan peralatan khas.

Beliau berkata, mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 2:09 PM