ANGGOTA bomba sedang mengeluarkan mangsa tersepit dalam kemalangan maut yang membabitkan dua kereta di Kampung Titi Batu, Batu 18, Yan. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba sedang mengeluarkan mangsa tersepit dalam kemalangan maut yang membabitkan dua kereta di Kampung Titi Batu, Batu 18, Yan. FOTO Ihsan JBPM
Nor Farhani Che Ad

SEORANG maut manakala lima cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Titi Batu, Batu 18, Yan, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.23 petang.

Beliau berkata, seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Cempedak bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Iswara dan sebuah Proton Iriz.

"Pemandu kereta Proton Iriz dipercayai lelaki berusia 31 tahun didapati tersepit di tempat duduk dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, seorang penumpang Proton Iriz cedera parah, manakala pemandu dan penumpang hadapan Proton Iswara parah akibat tersepit.

Katanya, dua lagi penumpang belakang Proton Iswara turut mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata, bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

"Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Yan menggunakan kenderaan EMRS Bomba, ambulans dan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 9:33 PM