AZIZAH (dua dari kiri) sebak dengan keprihatinan sukarelawan datang membantu membersih rumahnya. FOTO Mohd Khidir Zakaria
AZIZAH (dua dari kiri) sebak dengan keprihatinan sukarelawan datang membantu membersih rumahnya. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


TIGA beranak yang menderita pelbagai penyakit serta tinggal di rumah tidak terurus terharu apabila dikunjungi sukarelawan yang membersihkan rumah mereka di Rumah Rakyat Linggi di sini, kelmarin.

Pemilik rumah, Wahid Omar, 61, berkata, dia menghidap darah tinggi dan kencing manis dan tinggal bersama isteri, Azizah Salleh, 65, yang juga menderita kencing manis, darah tinggi serta masalah buah pinggang, manakala anak tunggal, Fairuuz Amin, 18, pula menhadapi masalah kulit kronik.

“Kami sekeluarga terharu atas kesudian sukarelawan datang membersihkan kawasan luar rumah yang semak dan turut membersihkan dalam rumah.

“Jasa sukarelawan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) dan pelajar Kolej Cosmopoint Seremban terlalu besar bagi kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Pensyarah Cosmopoint, Norain Khamis berkata, seramai 12 penuntut dan tiga pensyarah kolej berkenaan menyertai aktiviti khidmat masyarakat itu.

“Kami berminat untuk bersama Perkasih N9 bergotong-royong membersihkan rumah keluarga yang menghidap masalah kesihatan ini.

“Setiap semester, penuntut kami daripada pelbagai jurusan akan melakukan aktiviti kemasyarakatan bagi melengkapkan pembelajaran di Cosmopoint dan ia sebagai pendedahan kepada mereka apabila keluar dari kolej nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perkasih N9, Norfadilah Mansor berkata, keluarga itu termasuk dalam senarai keluarga asnaf yang memerlukan bantuan kerana mereka sekeluarga tidak mampu bekerja.

“Keluarga itu hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 dan Baitulmal RM250 sebulan.

“Difahamkan, mereka juga menghadapi masalah tunggakan bil elektrik dan air mencecah RM400 dan masalah pendawaian elektrik yang perlu dibaik pulih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 6:00 AM