Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (kiri) turut hadir di Program Gotong-royong menbersihkan rumah asnaf, Muhammad Harun, 73, (kerusi roda) di Rumah Rakyat Panchur, Seremban. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (kiri) turut hadir di Program Gotong-royong menbersihkan rumah asnaf, Muhammad Harun, 73, (kerusi roda) di Rumah Rakyat Panchur, Seremban. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Seremban: "Tak sangka (timbalan) menteri sanggup datang rumah, ye lah Pak Cik kan orang miskin. Inilah kali pertama rumah dikunjungi (timbalan) menteri, wanita pulak tu, sungguh...saya terharu," kata warga emas, Muhammad Harun, 73.

Menurutnya, dia amat berterima kasih kepada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) kerana serius membantunya sejak beberapa bulan lalu.

"Hampir menitis air mata apabila ramai yang datang termasuk Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

"Memang saya ada dimaklumkan yang (timbalan) menteri akan datang tetapi tak sangka ramai sekali daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rela dan pelbagai agensi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Rumah Rakyat Panchur, di sini, hari ini.

Muhammad berkata, dia yang tinggal sendirian dan dalam keadaan uzur tidak mampu membersihkan rumah setiap masa dan kedatangan orang ramai membuatkannya terharu.

"Terharu saya kerana ramai yang sudi membantu dan menziarahi saya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perkasih N9, Norfadilah Mansor berkata, dia dihubungi pihak kementerian tentang projek jiwa murni di kawasan Seremban yang perlu dibantu.

"Kebetulan Pak Cik Muhammad perlu dibantu maka hari ini program gotong-royong bagi membersihkan rumahnya dilaksanakan dengan kerjasama kementerian dan agensi lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 8:47 PM