MAJLIS Konvokesyen KLMUC dan Kolej Cosmopoint di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.
MAJLIS Konvokesyen KLMUC dan Kolej Cosmopoint di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.

Seramai 1,159 pelajar Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMUC) dan 1,146 pelajar Kolej Cosmopoint menerima skrol masing-masing pada Majlis Konvokesyen ke-8 dan ke-21 yang diadakan serentak di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, baru-baru ini.

Semua graduan terdiri daripada pelbagai fakulti, antaranya Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan, Pengurusan dan Teknologi Perniagaan, Kejuruteraan dan Aplikasi Teknologi, Pengajian Media serta Seni Reka dan Kreativiti.

Ketua Pegawai Eksekutif Cosmopoint Sdn Bhd yang juga Naib Canselor KLMUC Mohd Kamal Nawawi berkata, kejayaan pelajar KLMUC dan Kolej Cosmopoint itu membuktikan institusi berkenaan melangkah ke depan.

“Bagi KLMUC, kami kini menawarkan lebih 45 program dalam peringkat Asasi, Diploma, Ijazah dan Ijazah Sarjana.

“Sementara Kolej Cosmopoint pula mempunyai 11 kampus di seluruh negara kecuali Perlis dan sejak 25 tahun lalu, kami menghasilkan lebih 100,000 graduan,” katanya.

Kamal turut mengucapkan tahniah kepada graduan yang berusaha keras dan keazaman mereka menjadikan institusi berkenaan makin berkembang.

“Falsafah KLMUC turut menyumbang kepada kadar kejayaan tinggi pelajar yang menerima sijil, diploma dan ijazah. Ini kerana melalui ‘Aplikasi Dunia Nyata’ pelajar diberi peluang meneroka laluan untuk kejayaan di bidang profesional.

“KLMUC berusaha secara berterusan bagi membangunkan pelbagai program bagi memenuhi kehendak pelajar dan industri.

“Program akademik kami dibangunkan melalui nasihat dan sokongan rakan industri, sektor awam serta golongan profesional,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Naib Canselor KLMUC Dr Mizarina Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Cosmopoint Najmie Noordin.

Sementara itu, Che Nur Ikhwan Afif Che Nasarudin, 12, dipilih sebagai penerima Anugerah Naib Canselor KLMUC.

Graduan dari Fakulti Pengajian Media yang mendapat Diploma Kewartawanan itu memperoleh Nilai Gred Purata Kumulatif (CGPA) 3.97.

Menurutnya, dedikasi dan teknik pengajaran ‘Aplikasi Dunia Nyata’ yang disampaikan pensyarah turut menyumbang kepada kejayaannya.

“Saya bersyukur menerima anugerah itu. Berkat doa dan sokongan ibu bapa akhirnya saya dapat menamatkan pengajian peringkat diploma dengan cemerlang.

“Bantuan dan sokongan pensyarah di sini turut memainkan peranan kerana mereka mengajar bukan berdasarkan teori semata-mata, tapi pengalaman pengajaran kami lebih tertumpu kepada senario dunia pekerjaan sebenar.

“Ini menjadikan saya lebih bersedia untuk memasuki alam pekerjaan serta mengharungi cabaran mendatang,” katanya. - Nor Hanisah Kamaruzaman

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 12:21 PM