ZULKIFLI Abdullah (tiga kanan) beramah mesra dengan peniaga pasar malam di Taman Medan, hari ini. FOTO Nurul Shafina Jemenon.
ZULKIFLI Abdullah (tiga kanan) beramah mesra dengan peniaga pasar malam di Taman Medan, hari ini. FOTO Nurul Shafina Jemenon.
Muhaamad Hafis Nawawi


FASA kedua bagi Projek Rintis Menangani Masalah Dadah Substan dan Pelencongan Sosial kendalian Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan diteruskan bermula 1 Januari depan.

Fasa pertama projek itu memfokus kepada 12 kawasan di seluruh negara, yang dilaksana selama enam bulan.

Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, ia akan berakhir Disember ini dan pihaknya akan melakukan penambahbaikan sebelum memulakan pada kedua bagi tempoh enam bulan lagi.

Katanya, sasaran pihaknya untuk menggunakan modul projek sama yang lebih diperkemaskan di seluruh negara bermula 2021.

“Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kita berharap dapat menangani masalah dadah dengan lebih baik.

“Enam bulan pertama ini kita akan nilai apa yang kurang dan akan tambah baik untuk fasa kedua yang akan membabitkan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Walkabout dan Sembang Santai AADK di tapak pasar malam di Taman Medan, Petaling Jaya, hari ini.

Zulkifli berkata, dalam tempoh pelaksanaan, 12 kawasan projek rintis itu menunjukkan pengurangan jenayah kecurian hampir 13.9 peratus.

“Selain itu, kes pelajar ponteng sekolah juga berkurangan kepada 45.8 peratus serta berjaya membersihkan 52.3 peratus ‘port’ penagihan selain aduan berkaitan dadah juga menurun 24.2 peratus.

“Sementara itu daripada 178 kawasan berisiko tinggi pula, hasil penilaian semula mendapati kawasan merah tinggal 38, kuning 117 dan kawasan hijau 23,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 9:20 PM