Ling Tian Soon mewakili Menteri Besar Johor dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Johor. Gambar ihsan exco
Ling Tian Soon mewakili Menteri Besar Johor dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Johor. Gambar ihsan exco
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menumpu untuk mengurangkan 155 kawasan berisiko tinggi (KBT) penyalahgunaan dadah, bahan dan pelencongan sosial yang dikenal pasti di 17 mukim di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon berkata, ia membabit Johor Bahru, Pontian, Batu Pahat, Segamat, Muar dan Mersing.

Beliau berkata, AADK menyasarkan untuk mengurangkan KBT dalam tempoh lima tahun selaras dengan matlamat Dadah Terkawal 2025.

"Pada 2023, kerajaan negeri akan menyasarkan enam mukim bagi pengurangan KBT dan dijangka kesemua 17 mukim akan mencapai pengurangan menjelang 2025.

"Kerajaan negeri memberi komitmen tinggi kepada agenda membanteras dadah bagi merealisasikan hasrat kerajaan dalam Agenda Maju Johor untuk melahirkan masyarakat bebas dadah dan matlamat Dadah Terkawal 2025," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mengikut statistik 2021, Johor berada di tangga ke 10 dalam Bilangan Penyalah Guna dan Penagih Dadah yang merangkumi 13,261 individu terdiri daripada 94 peratus lelaki dan 6 peratus perempuan.

Ia membabitkan golongan belia berusia antara 19 hingga 39 tahun (65.9 peratus) diikuti golongan dewasa berusia 40 dan ke atas (32.8 peratus) manakala golongan penganggur (31 peratus).

Kategori dadah mengikut penggunaan oleh penyalahgunaan dan penagih dadah pada 2021 termasuk amphetamine (67.4 peratus), opiat (28.9 peratus), ganja (2.7 peratus), lain lain (0.9 peratus) dan psikotropik (0.1 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 1:48 PM