KETUA Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Pejabat Daerah Sabak Bernam, Selangor, Marwan Ahmad Tajuri (kanan) pada majlis penutup Mesyuarat Inisiatif Bersepadu Bagi Masalah Penyalahgunaan Dadah di Hotel Adya Langkawi. FOTO Hamzah Osman
KETUA Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Pejabat Daerah Sabak Bernam, Selangor, Marwan Ahmad Tajuri (kanan) pada majlis penutup Mesyuarat Inisiatif Bersepadu Bagi Masalah Penyalahgunaan Dadah di Hotel Adya Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) melakukan persempadanan semula Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) masalah dadah di negara ini, mulai hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, sebelum ini terdapat 178 KBT dan jumlah itu kini dikurangkan kepada 155 kawasan seluruh negara.

“Langkah itu dilakukan selepas melalui perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Kita yakin ia lebih tepat.

“Sebanyak 155 KBT yang baharu membabitkan 122 mukim, lapan zon, tiga sub zon dan 22 daerah pentadbiran,” katanya pada sidang media di Langkawi, hari ini.

Terdahulu, beliau menutup Mesyuarat Inisiatif Bersepadu Bagi Masalah Penyalahgunaan Dadah, Substans dan Pelencongan Sosial Bersama Pegawai Daerah Rintis di Hotel Adya Langkawi, di Langkawi.

Zulkifli berkata, antara kelebihan persempadanan baharu ialah setiap kawasan memiliki pemimpin komuniti yang bertanggungjawab menjaga kawasannya.

“Contohnya, kawasan berkenaan ada Pengerusi PBT, Pegawai Daerah, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk, Penggawa atau Penghulu.

“Berikutan itu, program pencegahan diyakini lebih berfokus bagi mencapai hasrat Dadah Terkawal 2025 demi kemakmuran dan kesejahteraan negara,” katanya.

Beliau berkata, langkah terbaru itu juga menyaksikan Johor memiliki KBT paling banyak iaitu 17 kawasan, diikuti Kelantan dan Terengganu (15), Perak (14), Kedah dan Selangor (13).

Seterusnya, Pahang memiliki 12 kawasan, Melaka (10), Sabah (9), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (8), Pulau Pinang dan Sarawak (7), Negeri Sembilan dan Perlis (6) dan Wilayah Persekutuan Labuan (3).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 3:52 PM