Hidayatul Akmal Ahmad


PENGAMBILAN dadah jenis baru methamphetamine (crystalline) dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 18 tahun berada pada tahap membimbangkan apabila merekodkan peratusan tertinggi bagi tempoh lima tahun.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, statistik diperolehi pihaknya mendapati dadah terbabit merekodkan peratusan 45.6 peratus bagi tempoh 2014 hingga Mac 2019.

“Sepanjang tempoh itu, golongan remaja dilihat paling gemar mengambil dadah jenis methamphetamine ‘crystalline’ berbanding opiat iaitu 32.8 peratus manakala methamphetamine tablet merekodkan 8.5 peratus.

“Jika dilihat pada statistik ini, penggunaan dadah methamphetamine ‘crystalline’ dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 18 tahun membimbangkan,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis Pendekatan Bersepadu Menangani Penagihan Dadah dan Pelencongan Sosial Remaja bersama badan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Bangi hari ini.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pengaruh rakan antara faktor meningkatnya peratusan belia berusia 19 hingga 39 tahun terbabit dadah sehingga 60.8 peratus sejak 2014 hingga kini.

“Bagi belia pula, jenis dadah yang menjadi pilihan mereka adalah opiat yang mencatatkan 45.8 peratus, manakala methamphetamine ‘crystalline’ merekodkan 34 peratus dan methamphetamine tablet 11.4 peratus,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan lebih fokus dalam mengenal pasti dan melaksanakan pelbagai program khusus bagi membanteras penyalahgunaan dadah.

“Kita akan mengenal pasti profiling 178 kawasan berisiko tinggi yang berada dalam zon merah di seluruh negara.

“AADK juga akan merangka model baru membabitkan steakholders (pemegang taruh), badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh komuniti melalui input dari sesi program dan maklum balas dari program yang diadakan.

“Model baru ini juga akan memberi pendekatan secara holistik serta penekanan terhadap kawasan berisiko tinggi di Malaysia dengan pelaksanaan Pilot Project iaitu Projek Perumahan Rakyat, kawasan nelayan dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA),” katanya.

Menurutnya, ia untuk memastikan kawasan berisiko itu diberikan penekanan terhadap aspek pencegahan serta melaksanakan alternatif yang bersesuaian membabitkan semua badan kerajaan dan NGO.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 8:30 PM