TINJAUAN kawasan banjir yang dilakukan unit udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di kawasan Kota Tinggi dan Mersing. FOTO Ihsan Bomba
TINJAUAN kawasan banjir yang dilakukan unit udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di kawasan Kota Tinggi dan Mersing. FOTO Ihsan Bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein


WALAUPUN jumlah mangsa banjir di Johor menunjukkan penurunan, namun ia tidak berubah sejak awal pagi hari ini.

Setakat 8 pagi tadi, seramai 5,367 mangsa masih ditempatkan di 65 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka dan ia jumlah yang dicatatkan sejak 6 pagi tadi.

Malah, jika dilihat pada rekod 8 malam semalam, sebenarnya jumlah itu bertambah sembilan orang lagi berbanding 5,358 mangsa.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor berkata, mangsa tertinggi yang masih ditempatkan di PPS adalah di Kluang dengan 1,722 orang membabitkan 480 keluarga.

Manakala, keadaan di Segamat dan Mersing, katanya, masih menjejaskan masing-masing 1,197 mangsa daripada 319 keluarga dan 1,086 mangsa daripada 309 keluarga.

“Sebanyak 65 PPS di seluruh negeri masih dibuka dan 39 sudah ditutup. Terakhir, sebuah PPS di Pontian ditutup pada 5.30 petang semalam,” katanya.

Pada masa sama, katanya, hanya lima jalan di Kota Tinggi masih terjejas yang mana dua jalan iaitu di KM59 dan KM70 Jalan Johor Bahru - Mersing hanya dibuka untuk laluan kenderaan berat sahaja memandangkan lokasi terjejas iaitu Kubu Lama dan simpang Tunjuk Laut masih banjir.

Manakala, KM72 dan KM73 di jalan sama ditutup untuk semua kenderaan kerana banjir di Ladang RISDA.

Turut ditutup untuk semua laluan kenderaan adalah KM43 Jalan Lok Heng-Mawai dan Jalan Felda Aping Timur yang mana banjir masih menjejaskan kawasan 500 meter dari simpang Balai Polis Mawai dan Lorong Durian 2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 10:24 AM