KEADAAN pusat bandar Kota Tinggi di Jalan Tun Habab masih dinaiki air walaupun cuaca panas awal pagi. FOTO Zain Ahmed
KEADAAN pusat bandar Kota Tinggi di Jalan Tun Habab masih dinaiki air walaupun cuaca panas awal pagi. FOTO Zain Ahmed
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Mangsa banjir di negeri ini meningkat sedikit kepada 5,499 orang daripada 1,414 keluarga di 52 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah, setakat 12 tengah hari ini.

Ia berbanding 5,485 orang daripada 1,408 keluarga, pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata, Mersing mencatatkan peningkatan kepada 525 orang daripada 138 keluarga di enam PPS, berbanding hanya seramai 506 mangsa daripada 131 keluarga, sekitar 8 pagi tadi.

Katanya, bagaimanapun, Kota Tinggi dan Kluang masih kekal sebagai dua daerah paling terjejas dengan 4,657 mangsa yang ditempatkan 35 PPS.

"Kota Tinggi masih merekodkan jumlah mangsa yang sama iaitu 2,707 orang daripada 682 keluarga di 23 PPS, manakala Kluang kekal kepada 1,950 orang daripada 503 keluarga di 12 PPS.

"Mangsa banjir Johor Bahru pula menunjukkan jumlah sama iaitu 72 mangsa daripada 24 keluarga di sebuah PPS pagi ini.

"PPS Balairaya Jalan Pemuda, Segamat, yang menempatkan lima orang daripada sebuah keluarga membabitkan kawasan terjejas iaitu Kampung Tengah, sudah ditutup pada jam 9.30 pagi tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, banjir di Johor yang masuk hari kelima setakat ini menunjukkan jalan utama di tiga daerah yang terjejas dan ditutup itu termasuklah Kota Tinggi di Jalan Kota Tinggi-Mersing, Jalan Kota Tinggi-Kluang, Jalan Lok Heng/Mawai/Sungai Mas, namun bagi Jalan Semangar-Kulai, hanya kenderaan berat sahaja dibenarkan.

Manakala, di Johor Bahru, turut ditutup adalah Jalan Haji Suhud, manakala bagi Mersing pula membabitkan Jalan Nitar Utama-Kluang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 12:20 PM