Keadaan semasa banjir di Mersing. FOTO Ihsan APM JOHOR
Keadaan semasa banjir di Mersing. FOTO Ihsan APM JOHOR
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Mersing mencatatkan jumlah mangsa banjir seramai 167 orang daripada 68 keluarga yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, PPS Kompleks Taman Negara Endau Rompin itu kini menempatkan semua mangsa banjir yanh terdiri daripada penduduk Kampung Orang Asli Peta, Mersding.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah mangsa banjir di dua daerah terjejas di negeri ini kini mencecah 388 orang daripada 127 keluarga setakat jam 4 petang.

"Setakat petang ini, jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat berbanding hanya 265 orang terdiri daripada 65 keluarga pada tengah hari tadi.

"Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi sudah menurun kepada 221 orang daripada 59 keluarga petang ini berbanding 265 orang daripada 65 keluarga tengah hari tadi.

"Terdapat tiga PPS yang beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir di Kota Tinggi dan satu di Mersing," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor memaklumkan terdapat enam jalan di Kota Tinggi yang terjejas akibat banjir yang mana pengguna boleh menggunakan jalan alternatif yang ada.

Jalan Johor Bahru – Endau (RISDA dan Yatama City), Jalan Lok Heng / Mawai / Sungai Mas (Semalok) hanya dibuka kepada kenderaan berat sahaja, manakala Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) ditutup untuk semua kenderaan dan Jalan Johor Bahru – Endau (sebelum RNR Panti dan di RNR Panti) hanya dibuka satu lorong sahaja.

Semua pengguna yang ingin melalui laluan berkenaan boleh menggunakan jalan alternatif di Jalan Kota Tinggi - Mersing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 4:46 PM