Ibrahim Isa

WALAUPUN enam pusat pemindahan sementara (PPS) sudah ditutup semalam dan hari ini tetapi jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat pada tengah hari ini.

Jumlah mangsa banjir meningkat 9,435 orang daripada 2,528 keluarga pada 1 tengah hari berbanding 9,151 orang membabitkan 2,475 keluarga pada pagi hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor berkata, bilangan PPS yang dibuka ketika ini hanya 90 di lapan daerah berbanding 93 PPS pagi tadi.

Menurutnya, kawasan yang terjejas dalam bencana itu masih kekal di Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Segamat, Kulai, Batu Pahat, Johor Bahru dan Pontian.

Kenderaan pasukan penyelamat meredah banjir dengan membawa pengguna jalan raya yang terperangkap di Jalan Kota Tinggi-Mersing, Kota Tinggi hari ini. Foto Mohd Azren Jamaludin
Kenderaan pasukan penyelamat meredah banjir dengan membawa pengguna jalan raya yang terperangkap di Jalan Kota Tinggi-Mersing, Kota Tinggi hari ini. Foto Mohd Azren Jamaludin

Katanya, daerah Muar pula keadaannya sudah kembali pulih dan kawasan Tangkak masih belum terjejas.

“Kota Tinggi masih mencatat daerah terburuk dilanda banjir dengan 18 PPS masih dibuka dengan menempatkan 2,852 mangsa daripada 750 keluarga, diikuti Kluang (2,722 mangsa daripada 734 keluarga di 27 PPS), Segamat (1,450 mangsa daripada 382 keluarga di 25 PPS).

“Selain itu, Mersing pula mencatatkan 1,285 mangsa daripada 364 mangsa di 10 PPS), Johor Bahru (739 mangsa daripada 196 keluarga di tiga PPS), Pontian (209 mangsa daripada 50 keluarga di tiga PPS), Kulai (102 mangsa daripada 33 keluarga di satu PPS) dan Batu Pahat (76 mangsa daripada 19 keluarga di tiga PPS).

“PPS Balai Raya Kampung Melayu Batu 4, Paloh, Kluang pula ditutup pada 2 petang semalam manakala lima PPS lain, Balai Raya Kampung Muhibbah, Paloh; Bangunan GPW Maokil, Muar; Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara Taman Bukit Mutiara, Johor Bahru ditutup pada 10 pagi tadi.

“Dua PPS lain, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu, Kulai ditutup pada 8 pagi tadi manakala Sekolah Agama Dato’ Haji Abdul Rahman Ahmad, Johor Bahru ditutup pada 1 tengah hari,” kata Sekretariat.

Menurutnya, dua jalan di Kampung Tunjuk Laut, Jalam Kampung Mawai Lama dan sebahagian Jalan Mersing-Johor Bahru ditutup kepada semua kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 3:29 PM