MUHAMMAD Hafiz  (dua kanan) bersama Pengarah Operasi, Jamaluddin Sabran (dua kiri), Jurutera Projek, Marwan Shahabududdin (kiri) dan Pengarah Lembaga Penasihat, Noor Baini Masri (kanan) menunjukkan dapur gaharu teknologi digital. FOTO Luqman Hakim Zubir
MUHAMMAD Hafiz (dua kanan) bersama Pengarah Operasi, Jamaluddin Sabran (dua kiri), Jurutera Projek, Marwan Shahabududdin (kiri) dan Pengarah Lembaga Penasihat, Noor Baini Masri (kanan) menunjukkan dapur gaharu teknologi digital. FOTO Luqman Hakim Zubir
Samadi Ahmad


MASA depan pengusaha tanaman gaharu dapat ditingkatkan menerusi teknologi dan inovasi dapur teknologi digital yang boleh meningkatkan pendapatan pengusaha.

Penggunaan teknologi diperkenalkan Juara Agarwood Resources Sdn Bhd itu dapat membantu pengusaha menghasilkan sendiri produk daripada tanaman itu tanpa bergantung kepada pihak lain.

Pengarah urusannya, Muhammad Hafiz Talib berkata, sebagai syarikat yang terbabit mengusahakan produk berasaskan gaharu, pihaknya sentiasa berusaha memperluaskan inovasi dan penggunaan teknologi bagi meningkatkan produktiviti industri.

Beliau berkata, dengan menggunakan teknologi itu pengusaha boleh mengusahakan pati minyak dan produk kesihatan air hidrosol bermutu tinggi secara sendiri melalui sumber elektrik kawalan jauh menggunakan telefon mudahalih.

Katanya, dapur gaharu teknologi digital itu dihasilkan dalam jangka masa setahun melalui kajian dan pengalaman syarikatnya sepanjang mengusahakan produk berkenaan melebihi lima tahun lalu.

“Teknologi ini dapat menjimatkan masa dan kos pengusaha berbanding sebelum ini yang menggunakan bahan api gas dan menggunakan pekerja bagi memantau sepanjang proses empat hari memasak kayu gaharu,” katanya pada sesi memperkenal dapur gaharu teknologi digital di Cyberjaya hari ini.

Dapur gaharu teknologi digital dihasilkan itu mampu memasak 2.5 kilogram (kg) kayu gaharu menggunakan sistem elektronik melalui bantuan wifi dan boleh diakses melalui telefon mudahalih di serata dunia.

Penggunaan dapur digital itu juga dapat menjimatkan kos berbanding sebelum ini menggunakan empat tong gas sepanjang empat hari proses memasak.

Melalui sistem itu juga pengguna boleh mengawal suhu, penambahan air dan mengawal kawasan sekitar melalui kamera litar yang dipasang pada dapur.

Muhammad Hafiz berkata, dapur digital itu mampu menghasilkan dua hingga lima militer (ml) minyak dan 1.8 liter air hidrosol yang bernilai tinggi serta mempunyai pasaran tinggi pembeli dalam dan luar negara.

Katanya, pada masa ini pihaknya berjaya memasarkan lebih 20 unit dapur digital itu termasuk menerima tempahan dari Vietnam dan Indonesia yang juga antara negara pengeluar tanaman gaharu.

"Kos bagi setiap unit dapur itu berharga RM5,000 bagi 2.5kg dan RM50,000 bagi 25kg yang mampu disiapkan dalam jangka masa dua minggu selepas membuat tempahan.

"Produk Bumiputera ini menggunakan teknologi tempatan sepenuhnya dan menjelang tahun depan syarikat menyasarkan nilai jualan sebanyak RM50 juta termasuk dalam dan luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 9:20 PM