FOTO kejadian yang tular di media sosial.
FOTO kejadian yang tular di media sosial.
Izlaily Nurul Ain Hussein


HANYA kerana brek mengejut, empat remaja lelaki bergaduh dengan seorang dewasa di Jalan Mutiara Emas Utama, Taman Mount Austin di Johor Bahru, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, lelaki berusia 29 tahun cedera dengan lebam dan luka kecil di bahagian muka selepas dipukul menggunakan tangan oleh kumpulan remaja terbabit.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa membrek mengejut selepas Proton Wira di hadapannya melakukan perkara sama.

“Mangsa keluar dari kereta untuk melihat keadaan keretanya, menyebabkan berlaku pertengkaran antara dia dan empat remaja yang menaiki Proton Wira terbabit.

“Di akhir pertengkaran, mangsa dipukul kumpulan remaja terbabit menggunakan tangan. Bagaimanapun anggota polis yang datang ke tempat kejadian berjaya meleraikan pergaduhan dan membawa semua yang terbabit ke Balai Polis Setia Indah,” katanya.

Hasil siasatan awal, Shahurinain berkata, punca pergaduhan disebabkan mangsa tidak berpuas hati dengan cara pemanduan pemandu Proton Wira itu yang membrek secara mengejut.

Katanya, tiada kemalangan akibat kejadian dan hasil semakan kereta dinaiki empat remaja terbabit milik bapa kepada pemandunya.

Menurut Shahurinain, empat remaja yang mana tiga daripadanya berusia 19 tahun dan seorang 17 tahun itu kemudian ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 1:46 PM