SUSPEK berjaya dikesan melalui rakaman CCTV dan barangan ditemui dipercayai hasil pecah rumah.
SUSPEK berjaya dikesan melalui rakaman CCTV dan barangan ditemui dipercayai hasil pecah rumah.
Izlaily Nurul Ain Hussein


TIDAK sampai 24 jam kes dilaporkan, polis berjaya menumpaskan satu kumpulan pecah rumah didalangi dua lelaki ditahan di Taman Intan, Ulu Tiram, Johor Bahru, awal pagi tadi.

Dua lelaki berusia 27 dan 43 tahun ditahan kira-kira 2.30 pagi selepas polis menerima maklumat berhubung kejadian cubaan pecah rumah di Jalan Hijau Muda 7, Taman Pelangi, antara 10 pagi hingga 2.30 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang suri rumah berusia 50 tahun berhubung kejadian itu dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) diterima.

“Anggota polis dari Balai Polis Taman Pelangi Indah kemudian bertindak menahan sebuah Produa Myvi dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan terhadap kereta, kita menemui peralatan pertukangan serta pelbagai barang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah.

“Berdasarkan soal siasat, kedua-dua lelaki mengaku melakukan pecah rumah di perumahan Taman Pelangi Indah dan sekitar daerah ini sekurang-kurangnya empat kes sejak awal bulan ini,” katanya.

Beliau berkata, antara dirampas masing-masing empat beg tangan wanita dan dompet, kamera, kasut wanita, tiga telefon bimbit, spanar G serta alat renjatan elektrik selain Perodua Myvi dinaiki mereka.

Menurut Shahurinain, semakan rekod lampau ke atas dua suspek mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Kedua-dua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 2:14 PM