Hadzlihady Hassan


SELUDUP dadah untuk bayar hutang. Itu alasan digunakan lelaki warga China yang cuba menyeludup dadah ketika ditahan di Terminal Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 10.10 pagi itu, lelaki berusia 44 tahun terbabit yang mahu menaiki penerbangan ke Hong Kong dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika pemeriksaan dilakukan terhadapnya di bahagian mesin pengimbas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis berjaya menemui enam bungkus heroin ‘base’ seberat 2,313 gram yang dilekat di pinggangnya dan ditutup dengan bengkung.

“Ketika pemeriksaan, suspek dilihat agak gelabah dan hasilnya kita berjaya menemui enam ketulan mampat dadah bernilai RM215,000 yang diikat di pinggangnya.

“Polis turut merampas wang tunai termasuk Hong Kong Dolar dan China Yuan berjumlah RM1,181,” katanya pada sidang media, di Balik Pulau, hari ini.

KETUA Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan (tengah) menunjukkan antara enam ketulan mampat dadah 'heroin base' yang dirampas selepas menahan seorang lelaki berusia 44 tahun warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau. FOTO Danial Saad
KETUA Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan (tengah) menunjukkan antara enam ketulan mampat dadah 'heroin base' yang dirampas selepas menahan seorang lelaki berusia 44 tahun warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau. FOTO Danial Saad

Anbalagan berkata, siasatan lanjut mendapati suspek pernah masuk ke negeri ini awal November lalu dan tinggal selama tiga hari sebelum pulang dan dia datang semula pada 28 November lalu.

“Suspek yang mendakwa dia bekerja sendiri memberitahu terpaksa menyeludup dadah terbabit kerana mahu membayar hutang yang begitu banyak ditanggungnya.

“Lelaki terbabit kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan dia boleh dijatuhi hukuman mati mandatori,” katanya.

Menurutnya, jika diproses, dadah heroin ‘base’ yang dirampas itu boleh menghasilkan sebanyak 5.4 kilogram heroin dan dapat digunakan oleh 54,000 penagih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 1:43 PM