KAMARUDDIN mengalihkan kayu yang hanyut di hadapan rumahnya akibat banjir. FOTO Ghazali Kori
KAMARUDDIN mengalihkan kayu yang hanyut di hadapan rumahnya akibat banjir. FOTO Ghazali Kori
Norizuan Shamsuddin


“ALHAMDULILLAH, air sudah surut dan kami dibenarkan pulang ke rumah meninjau keadaan dan mengemas kediaman masing-masing.

“Bagaimanapun, kami berwaspada kerana bimbang kediaman dinaiki air semula,” kata Kamaruddin Merah, 57.

Dia bersama isteri, Zainab Daud, 53, adalah antara 67 mangsa membabitkan 19 keluarga yang dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Kasar apabila kediamannya di Kampung Kasar, Setiu, dinaiki air, semalam.

Menurut Kamarudin, hujan lebat semalam menyebabkan kawasan rumahnya dinaiki air sehingga melebihi paras satu meter.

“Kami berpindah ke PPS kira-kira 5 petang kerana bimbang paras air terus meningkat.

“Bagaimanapun, air mulai surut malam tadi dan mangsa banjir yang berada di PPS Sekolah Seri Kasar dibenarkan pulang bermula 7 pagi tadi,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, kawasan kediamannya masih digenangi air tetapi sudah tidak memasuki bahagian dalam rumah.

“Saya dan isteri mula mengemas rumah kerana air dijangka akan surut.

“Tapi kami sentiasa berwaspada kerana sebelum ini pun setiap tahun apabila musim tengkujuh kami sekeluarga terpaksa berpindah lebih dari dua kali apabila kediaman dinaiki air semula.

“Disebabkan perkara itu, PPS Sekolah Seri Kasar masih belum ditutup walaupun mangsa banjir dibenarkan pulang,” katanya.

Selain itu, mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS Masjid Kampung Merbau Menyusup, di Setiu, yang terletak kira-kira dua kilometer dari Kampung Kasar turut dibenarkan pulang ke rumah selepas air mulai surut bermula malam tadi.

Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKL) Merbau Menyusup, Mohd Zamri Embong berkata, seramai 76 mangsa dari 26 Keluarga yang berada di PPS Masjid Kampung Merbau Menyusup mula dibenarkan pulang bermula 6 pagi tadi.

“Bagaimanapun, PPS masih belum ditutup kerana dikhuatiri berlaku banjir semula kerana keadaan cuaca masih berlaku hujan.

“Saya mewakili penduduk berterima kasih kepada semua pihak yang membantu memindahkan mangsa banjir selain meringankan beban mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 11:57 AM