Zaid Salim


Kuala Terengganu: Banjir di negeri ini semakin buruk dengan Besut menjadi daerah terbaru dilanda banjir menjadikan tiga daerah di negeri ini terkesan akibat banjir sehingga jam 8 malam ini.

Malah, pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu turut diaktifkan jam 6.30 petang hari ini, bagi menempatkan empat keluarga membabitkan 10 mangsa.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, dengan pembukaan PPS terbaru itu, seramai 174 mangsa banjir dari 58 keluarga dari tiga daerah sudah dipindahkan.

Menurutnya, sehingga 8 malam ini, lapan PPS diaktifkan iaitu lima di Setiu membabitkan PPS Masjid Kampung Chalok Kedai, Masjid Kampung Gong Terap, Masjid Kampung Merbau Menyusut, SK Kampung Besut dan Balairaya Kampung Bukit Mak Som.

"Sementara di Kuala Nerus, dua PPS diaktifkan iaitu SK Mengabang Telipot dan Surau Mak Jintan membabitkan 30 mangsa daripada enam keluarga," katanya.

Katanya, PPS Bari Besar di Setiu yang sebelum ini menempatkan 16 keluarga ditutup 6.30 petang.

"Semua mangsa dibenarkan balik ke kediaman masing-masing selepas air surut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 9:51 PM