RAFIDI (kanan) membantu memindahkan penduduk menggunakan bot selepas banjir melanda Kampung Buloh. (Gambar kecil) Yahya. FOTO Rozainah Zakaria.
RAFIDI (kanan) membantu memindahkan penduduk menggunakan bot selepas banjir melanda Kampung Buloh. (Gambar kecil) Yahya. FOTO Rozainah Zakaria.
Norizuan Shamsuddin


“BUAT masa ini, saya bersama ahli keluarga masih tinggal di rumah, tapi kami sentiasa berwaspada dan sekiranya air semakin naik, kami akan berpindah.

“Bagaimanapun, saya harap dapat dihantar ke hospital kerana keadaan uzur dan lumpuh menyukarkan saya tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang mempunyai ramai penghuni,” kata Yahya Muhamed, 60.

Dia bersama 11 ahli keluarganya turut menjadi mangsa banjir apabila kawasan sekitar rumahnya di Kampung Buloh, Permaisuri, Setiu, mula dinaiki air, hari ini.

Yahya berkata, kawasan kampung berkenaan sering dinaiki air terutama pada musim tengkujuh.

Dia yang lumpuh sejak tiga bulan lalu akibat kanser prostat berkata, kediamannya masih belum dimasuki air berikutan berada di kawasan tinggi.

“Namun kami sentiasa berwaspada kerana bimbang air semakin naik banjir pada 2016 apabila rumah dimasuki air sehingga 0.5 meter.

“Jadi, sekiranya perkara sama berulang saya harap dapat dihantar ke hospital bagi memudahkan mendapat rawatan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Rafidi Yahya, 40, berkata, hujan lebat sejak semalam menyebabkan kawasan sekitar kediamannya dinaiki air sehingga 1 meter.

Menurut kakitangan hospital itu, kediamannya mula dinaiki air sewaktu dia sedang bertugas.

“Saya hanya mengetahui rumah dinaiki air selepas isteri menelefon memaklumkan mengenai perkara terbabit.

“Susulan itu saya segera pulang ke rumah bagi membantu ahli keluarga. Mujurlah kediaman kami tinggi, jadi air setakat ini air belum memasuki rumah dan hanya melimpah di sekitar luar rumah saja.

“Bagaimanapun, sebahagian penduduk sudah dipindahkan ke PPS dan kami hanya menunggu masa saja untuk berpindah kerana air dijangka semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Zul Azman Jamaludin berkata, sehingga kini terdapat 231 mangsa membabitkan 90 keluarga dipindahkan di empat PPS dibuka di Setiu sehingga 6 petang hari ini.

Beliau berkata, empat PPS terbabit adalah Surau Kampung Seladang, Sekolah Kebangsaan Kampung Besut, Pusat Penempatan (PP) Banjir Kampung Besut dan Masjid Kampung Merbau Menyusup.

“Paras air di kawasan ini pada pagi tadi hanya meningkat dari 0.5 meter hingga 0.75 meter, tetapi meningkat secara mendadak pada waktu petang iaitu dari 1.35 meter hingga 1.50 meter.

“Air dijangka terus meningkat lagi kerana hujan masih lebat di beberapa kawasan terutama sekitar laluan Permaisuri ke Hulu Seladang sehingga menyebabkan ada laluan tidak dapat dilalui kenderaan.

“Namun kami akan meningkatkan pemantauan iaitu dari lapan jam sekali kepada empat jam sekali di sekitar kawasan banjir terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 7:56 PM