AZWADI memasang pukat di hadapan rumahnya ketika banjir di Kampung Besut. FOTO Ghazali Kori
AZWADI memasang pukat di hadapan rumahnya ketika banjir di Kampung Besut. FOTO Ghazali Kori
Norizuan Shamsuddin


“LALUAN untuk keluar terputus, untuk itu bekalan makanan yang ada kami kena berjimat.

“Jadi, saya memasang pukat di hadapan rumah bagi menangkap ikan untuk dijadikan makanan buat keluarga,” kata Azwadi Sisi, 43.

Dia bersama ahli keluarganya antara mangsa banjir di Kampung Besut di sini.

Selain kediaman dinaiki air laluan utama ke kampung berkenaan turut ditutup untuk semua kenderaan apabila Jalan HuluPermaisuri ke Permaisuri dinaiki air sejak semalam.

Menurut bapa kepada dua anak itu, dia bersama ahli keluarganya sudah berpindah ke PusatPusat Pemindahan (PP) Banjir Kampung berikutan kediaman mula dinaiki air, semalam.

“Namun, kami pulang ke rumah pagi tadi susulan air mulai surut.

“Selepas kemas rumah saya tahan pukat untuk menangkap ikan.

“Biasa saya pasang pukat di belakang rumah kerana dekat dengan Sungai Imau dan pernah dapat ikan sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, disebabkan paras air di bahagian belakang rumah masih tinggi dia cuba memasang pukat di depan rumah.

“Kalau ada rezeki dapatlah ikan untuk dijadikan lauk buat keluarga ketika banjir ini,” katanya.

Tambahnya, kawasan kediamannya kerap dinaiki air apabila musim tengkujuh dan dia bersama keluarga sentiasa berwaspada sekiranya keadaan banjir teruk mereka akan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 5:25 PM