Laporan portal berita Harian Metro Khamis lalu.
Laporan portal berita Harian Metro Khamis lalu.
Mohamad Hussin


JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) menyerbu tiga premis membabitkan pusat pengedaran khinzir dan dua restoran makanan kerana menjual produk berasaskan khinzir yang diimport dari 10 negara dikesan dijangkiti virus di sekitar Lembah Klang semalam.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, virus demam babi Afrika (ASF) itu sangat bahaya dan boleh menjejaskan industri khinzir di negara ini bernilai RM5 bilion termasuk 600 ladang ternakan khinzir.

Beliau berkata, kerajaan sudah menarik larangan import dari China, Poland, Belgium, Thailand, Vietnam, Kemboja, Hong Kong, Myanmar, Filipina dan Laos secara berperingkat sejak 2018.

“Jadi penting bagi kita meningkatkan biosekuriti negara supaya virus ini tidak masuk sekali gus menjangkiti ternakan khinzir di negara ini.

“Kita tahu bahawa 40 peratus rakyat Malaysia adalah bukan muslim dan mereka makan haiwan berkenaan.

“Sehubungan itu, JPV sudah mengadakan operasi bersepadu di sebuah pusat pengedaran khinzir dan dua restoran kerana menjual daging khinzir dari Vietnam yang dilarang import.

“Kita dapati masih ada produk tin berasaskan khinzir yang dilarang import masih dijual di negara ini. Kita tidak lagi mengimport produk khinzir sebaliknya lebih kepada penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pemindahan Teknologi 2019 sempena majlis Sambutan 50 Tahun Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah MARDI Datuk Mohamad Roff Mohd Noor serta Ketua Pengarah JPV Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menubuhkan pasukan khas merangkumi wakil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

Katanya, turut sama wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), bertujuan memantau produk import berkenaan dan setakat ini, Malaysia masih bebas daripada penularan virus terbabit.

“Kita bukan menganiaya pengusaha tetapi mereka perlu mengikut undang-undang apabila membawa masuk produk yang dilarang kerana bimbang berlakunya wabak menjejaskan pelbagai pihak,” katanya.

Jumaat lalu, JPV Sarawak mengesan virus ASF melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dalam satu daripada 17 sampel ‘luncheon’ babi dalam tin diimport dari China.

Pengesanan virus itu disahkan oleh Kesihatan Awam Veternari di Salak Tinggi, Selangor, ketika ujian makmal dijalankan menggunakan Real Time Polymerase Chain Reaction (q-PCR).

Berita berkaitan

Hati-hati virus babi ASF

ASF: Sabah larang babi import

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 5:58 PM