GAMBAR fail menunjukkan poster pemberitahuan mengenai ASF di Thailand. FOTO Reuters
GAMBAR fail menunjukkan poster pemberitahuan mengenai ASF di Thailand. FOTO Reuters
Avila Geraldine


SABAH melarang sementara pengimportan babi dan semua produk haiwan itu berikutan pengesanan virus demam babi Afrika (ASF) melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA)

dalam satu sampel babi dalam tin diimport di Sarawak.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Junz Wong berkata, kementerian bimbang dengan perkara itu sekali gus mengambil langkah pencegahan yang perlu.

“Kementerian menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah akan mengadakan pertemuan dengan semua jabatan berkaitan termasuk kesihatan, esok.

“Selepas mesyuarat itu kita akan melancarkan usaha bersepadu bersama pihak berkuasa yang berkaitan untuk memberi tumpuan dan memeriksa kedai yang menjual produk itu bagi memastikan Sabah bebas dan selamat daripada virus itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 27 Oktober, kerajaan Sarawak melarang pengimportan babi dan semua produk haiwan itu dari negara dijangkiti virus ASF termasuk China.

Ini selepas Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) mengesan virus ASF melalui ujian DNA dalam satu daripada 17 sampel babi dalam tin diimport dari China, pada 25 Oktober lalu.

JPVS Sarawak dalam kenyataannya baru-baru ini berkata, jabatan dan agensi berkaitan akan menjalankan pemeriksaan ke atas semua pasar raya.

Produk yang terjejas akan dikeluarkan daripada rak, sementara produk dalam penghantaran akan menjalani mekanisme “tahan uji” untuk memastikan ia bebas daripada pencemaran virus ASF.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 2:02 PM