DR Quaza Nizamuddin pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Khairul Najib Azarulah Khan.
DR Quaza Nizamuddin pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Khairul Najib Azarulah Khan.
Khairul Najib Asarulah Khan


JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) menggesa pengedar dan penjual menarik balik daging dan produk berasaskan khinzir yang diimport dari sembilan negara dikesan dijangkiti virus.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, pihaknya mendapati masih terdapat pihak yang menjual daging mentah dan makanan dalam tin berasaskan khinzir dari negara berkenaan walaupun larangan sudah dikeluarkan sejak 2018.

Katanya, negara berkenaan adalah China, Poland, Belgium, Thailand, Vietnam, Cambodia, Hong Kong, Myanmar dan Loas.

“Antara virus yang dikesan seperti demam babi Afrika (ASF) yang boleh mengakibatkan ternakan khinzir di negara ini mati apabila termakan sisa daging atau produk bertin dari negara berkenaan.

“Bagaimanapun, setakat ini Malaysia masih bebas daripada penularan virus terbabit,” katanya pada sidang media di JPV Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Quaza Nizamuddin berkata, pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan virus itu dengan menubuhkan pasukan khas merangkumi wakil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

Katanya, turut sama wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), bertujuan memantau produk import itu.

“Hari ini, pasukan khas sudah merampas 60 kotak produk tin berasaskan khinzir dalam tiga operasi di sekitar Lembah Klang.

“Pembekal atau peniaga yang ingin mendapatkan bekalan daging itu disaran mengimport dari negara seperti Australia, Kanada, Denmark, German, Spain dan France, manakala produk tin dari Singapura, Spain, Itali dan Denmark,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 3:34 PM