TUANKU Muhriz bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menanam Pokok Merbau sebagai simbolik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-255 di Istana Negara. FOTO BERNAMA
TUANKU Muhriz bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menanam Pokok Merbau sebagai simbolik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-255 di Istana Negara. FOTO BERNAMA
BERNAMA

MESYUARAT Majlis Raja-Raja ke-255 bermula semalam, julung kalinya menyaksikan upacara penanaman pokok Merbau di perkarangan Istana Negara.

Upacara penanaman pokok kebangsaan sempena mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-255 ini adalah atas inisiatif Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir berkenan menanam pokok Merbau di perkarangan Istana Negara sebagai simbolik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mempengerusikan mesyuarat pada kali ini.

Pokok Merbau diisytihar pokok kebangsaan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 23 Ogos lalu.

Terdahulu, sebelum upacara penanaman pokok Merbau, Tuanku Muhriz turut berkenan memberi tabik hormat kepada Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dibarisi Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Dataran Utama, Istana Negara.

Upacara KKU ini adalah juga atas inisiatif Al-Sultan Abdullah yang julung kali diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-254 yang diberi tabik hormat oleh DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebagai pengerusi mesyuarat.

Kedua-dua upacara penanaman pokok Merbau dan KKU pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara tidak pernah diadakan sebelum perlantikan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Raja-Raja Melayu yang berangkat hadir pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-255 berakhir hari ini ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra; Pahang diwakili Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mua’adzam Sultan Ahmad Shah dan Johor diwakili Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Mesyuarat berlangsung selama dua hari bermula semalam turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 11:27 AM