Al-Sultan Abdullah bersama Sultan Mizan pada Majlis Penanaman Pokok Ceri Terengganu di pekarangan Istana Negara, hari ini - FOTO BERNAMA
Al-Sultan Abdullah bersama Sultan Mizan pada Majlis Penanaman Pokok Ceri Terengganu di pekarangan Istana Negara, hari ini - FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 di Istana Negara di sini.

Mesyuarat itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 24 November dan 25 November 2021 yang dipengerusikan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Terdahulu, sebelum mempengerusikan mesyuarat yang bermula pukul 11 pagi itu, Sultan Mizan berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dibarisi oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Utama.

Sultan Mizan kemudian turut berkenan menanam pokok Ceri Terengganu (Lepisanthes alata) di perkarangan Istana Negara sebagai simbolik Sultan Terengganu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan menyaksikan Majlis Penanaman Pokok tersebut.

KKU dan Majlis Penanaman Pokok adalah cetusan idea Sultan Abdullah dan tidak pernah diadakan sebelum pelantikan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

KKU diadakan julung kalinya pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-254 manakala Majlis Penanaman Pokok pertama kali diadakan pada mesyuarat kali ke-255.

Mesyuarat dua hari bermula hari ini turut dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan, Pahang dan Johor.

Raja-Raja yang berangkat ialah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Sementara itu, Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah manakala Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra.

Mesyuarat itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri kecuali Sarawak yang diiringi Timbalan Premier.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 3:05 PM