GAMBAR hiasan. Pemandangan luar perkarangan pintu masuk utama Istana Negara di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Pemandangan luar perkarangan pintu masuk utama Istana Negara di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-257 di Istana Negara.

Mesyuarat yang bermula semalam itu dipengerusikan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Mesyuarat kali ini berlangsung selepas kali terakhir diadakan semasa mesyuarat ke-256 pada 19 dan 20 Februari 2020 yang dipengerusikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Nazrin Shah; Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Selain itu, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Mesyuarat itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut hadir pada mesyuarat itu.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri kecuali Sarawak yang diiringi Timbalan Ketua Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 12:29 PM