BERNAMA

MANGSA banjir di Johor, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor meningkat kepada 1,974 orang daripada 559 keluarga setakat 12 tengah hari tadi.

Ia berbanding 1,676 orang daripada 466 keluarga pada 8 pagi.

Menurut laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di Johor, lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di lima daerah iaitu di Batu Pahat, Johor Bahru, Kulaijaya, Kluang dan Pontian membabitkan seramai 595 mangsa daripada 142 keluarga.

Di Perak, bilangan mangsa banjir turut meningkat kepada 410 orang daripada 101 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di Hilir Perak dan masing-masing satu di Batang Padang dan Kerian.

HASSIMAH Hassim, 53, menyelamatkan perkakas dapur yang ditenggelami air akibat hujan lebat dan fenomena air pasang besar, di Kampung Parit Mahang, Kuala Selangor. FOTO Saddam Yusoff.
HASSIMAH Hassim, 53, menyelamatkan perkakas dapur yang ditenggelami air akibat hujan lebat dan fenomena air pasang besar, di Kampung Parit Mahang, Kuala Selangor. FOTO Saddam Yusoff.

Bilangan mangsa banjir di Kedah juga meningkat kepada 61 orang daripada 39 keluarga yang ditempatkan di dua PPS di Kulim dan Pendang.

Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Kuala Selangor, Selangor dan Seberang Perai, Pulau Pinang masing-masing kekal 784 orang daripada 245 keluarga dan 124 orang daripada 32 keluarga.

Nadma turut melaporkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di barat daya dan timur laut Pulau Pinang sehingga 3 petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 2:00 PM
ABDUL Salleh Mat Kasri, 73, melihat keadaan rumahnya yang dinaiki air akibat hujan lebat dan fenomena air pasang besar, di Kampung Parit Mahang, Kuala Selangor. FOTO Saddam Yusoff.
ABDUL Salleh Mat Kasri, 73, melihat keadaan rumahnya yang dinaiki air akibat hujan lebat dan fenomena air pasang besar, di Kampung Parit Mahang, Kuala Selangor. FOTO Saddam Yusoff.