MOHD Zani Che Din menunjukkan gambar dua suspek yang meloloskan diri daripada ditahan polis. FOTO Ihsan Polis
MOHD Zani Che Din menunjukkan gambar dua suspek yang meloloskan diri daripada ditahan polis. FOTO Ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PANIK ditahan polis, dua beradik bertindak memecut kenderaan dinaiki sebelum melanggar tiga kenderaan lain di Bandar Sunway, Subang Jaya, pada 8 malam, semalam.

Tindakan itu menyebabkan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melepaskan empat das tembakan ke tayar kereta dinaiki dua lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, bagaimanapun, kedua-dua suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi itu berjaya meloloskan diri.

“Kejadian berlaku apabila suspek mula diintip dari Taman Desa Ria, Petaling Jaya ketika sepasukan polis menjalankan Op Tapis di kawasan berkenaan.

“Setiba di Bandar Sunway, suspek pada mulanya dikepung dari arah depan, sebelum anggota polis turun dari kenderaan memperkenalkan diri sebagai polis, namun suspek secara tiba-tiba bertindak memecut dan melanggar anggota polis berkenaan,” katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya, hari ini.

Mohd Zani berkata, ketika cuba meloloskan diri, suspek merempuh tiga kenderaan milik orang awam di kawasan berkenaan dan berjaya meloloskan diri.

Katanya, suspek dikenal pasti sebagai S K Navin Kumar, 22 dan S K Danesh Kumar, 21 beralamat terakhir di Sungai Way, Petaling Jaya.

“Susulan itu, polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dua lelaki yang juga adik-beradik boleh menyalurkan kepada polis.

Menurutnya, semakan terhadap nombor pendaftaran kenderaan yang dinaiki suspek, mendapati nombor yang digunakan adalah palsu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 5:22 PM