Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta dipandu lelaki warga asing selepas dia cuba merempuh pihak berkuasa ketika melarikan diri daripada pemeriksaan di Bandar Pinggiran Subang, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, suspek berusia 40 tahun memecut Proton Wira Aeroback untuk meloloskan diri sebelum dikejar kira-kira tiga kereta peronda polis dan dua Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, suspek ditahan dengan bantuan URB Petaling Jaya dan MPV Sungai Buloh.

"Polis turut merampas kereta digunakan suspek bagi membantu siasatan. Sebelum itu, anggota polis menahan kereta suspek kerana berada dalam keadaan mencurigakan di Damansara.

"Ketika polis mahu membuat pemeriksaan, suspek memecut kenderaan dan cuba merempuh anggota terbabit. Suspek melarikan diri dan dikejar MPV.

"Hasil hebahan polis Petaling Jaya, kita menahan suspek di Shah Alam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 dan 188 Kanun Keseksaan selain Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular

Ia masing-masing kerana cubaan bunuh terhadap anggota polis, ingkar perintah polis ketika ditahan untuk pemeriksaan, melarikan diri dan tidak mempunyai dokumen pengenalan serta perjalanan diri sah.

Terdahulu, video berdurasi seminit 14 saat tular di media sosial memaparkan MPV polis mengejar kereta suspek di sebuah kawasan perumahan.

Pemandu kereta itu kemudian dilihat menghentikan kenderaan sebelum keluar berlari dan dikejar polis hingga berjaya ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 2:59 PM