KENDERAAN mangsa rosak selepas diserang sekumpulan lelaki bermotosikal.
KENDERAAN mangsa rosak selepas diserang sekumpulan lelaki bermotosikal.
Norizuan Shamsuddin

Petaling Jaya: Sepasang kekasih berdepan detik cemas selepas kenderaan mereka dikejar dan diserang sekumpulan lelaki bermotosikal di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi itu, pasangan kekasih berusia 20-an itu sempat menyelamatkan diri dengan memecut kenderaan sebelum mendapatkan pertolongan pengawal keselamatan dan polis bantuan di Plaza Tol Kepong, di sini.

Kejadian itu menjadi viral di laman sosial selepas wanita yang menjadi mangsa berkenaan memuatnaik status kejadian di Facebook (FB) malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, berdasarkan laporan, kejadian didakwa berlaku sewaktu seorang lelaki berusia 26 tahun bersama teman wanitanya berhenti di tempat letak kenderaan berhampiran Tasik Kelana Jaya, di sini, bagi memasukkan koordinat lokasi pada aplikasi Waze.

Katanya, ketika menghentikan kenderaan mangsa dihampiri lapan lelaki menaiki empat motosikal.

“Seorang daripada kumpulan lelaki terbabit mengetuk cermin Perodua Myvi dinaiki mangsa dan memaksa mereka keluar.

“Bagaimanapun, pasangan berkenaan enggan menurut arahan itu kerana mengesyaki sesuatu buruk menyebabkan suspek memukul kereta mangsa.

“Tindakan terbabit menyebabkan mangsa memecut menyelamatkan diri tetapi melanggar motosikal suspek,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa memandu kenderaan di LDP, tetapi kumpulan motosikal mengejar mereka.

“Tayar kenderaan mangsa pancit, tetapi mangsa meneruskan pemanduan bagi menyelamatkan diri.

“Difahamkan kumpulan motosikal terbabit turut membaling batu dan alat pembuka palam pencucuh motosikal ke arah kereta mangsa menyebabkan cermin tingkap penumpang pecah serta beberapa bahagian lain kemek.

“Mangsa menyelamatkan diri dengan mendapatkan bantuan pengawal keselamatan dan polis bantuan di Plaza Tol Kepong sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Sunway,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memanggil mangsa untuk merekodkan keterangan mengenai kejadian.

Katanya, polis mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pengurusan lebuh raya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 10:49 AM