Aminolhuda (lima dari kiri) bersama murid sekolah angkat pada Festival Sekolah Agama Angkat KPRJ - HOPE 2019 hari ini. FOTO Ihsan KPRJ
Aminolhuda (lima dari kiri) bersama murid sekolah angkat pada Festival Sekolah Agama Angkat KPRJ - HOPE 2019 hari ini. FOTO Ihsan KPRJ
Izlaily Nurul Ain Hussein


SERAMAI 240 guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) yang mengajar dalam tempoh tiga hingga empat jam di Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor bakal menerima elaun RM512 sebulan.

Elaun tambahan itu dengan jumlah keseluruhannya bernilai RM1.6 juta akan diberikan mulai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan berkata, dengan tambahan penerima elaun itu menjadikan jumlah guru KAFA menerima elaun sumbangan Kerajaan Johor 2,090 orang berbanding 1,850 sebelum ini yang menerima elaun itu berdasarkan jam mengajar.

“Sebelum ini, elaun RM900 diterima daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jadi kini ditambah RM512 termasuk caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“KWSP untuk simpanan hari tua dan PERKESO jika berlaku kemalangan dalam perjalanan bertugas.

“Mereka ini bukan guru berpencen, bukan tetap, ada kontrak, jadi kita memandang ke hadapan untuk guru KAFA, kita akan usahakan guru ini juga masuk dalam program PERKESO,” katanya ditemui selepas merasmikan Festival Sekolah Agama Angkat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) - HOPE 2019 di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru hari ini.

Aminolhuda berkata, penambahan elaun itu dilaksanakan bagi mengukuh dan memperkasakan pembelajaran Sekolah Agama Johor selain bagi membantu menambah pendapatan guru KAFA.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, enam sekolah angkat dipilih termasuk Sekolah Agama (SA) Riyadhus Solihin, Taman Damai Jaya; SA Sabilul Muhtadin, Taman Puteri Wangsa; SA Al Firdaus, Lima Kedai; SA Dato’ Abdul Rahman Ahmad; SA Al-Imtiyaz, Kota Puteri dan SA Kampung Baharu, Lenga.

Pada masa sama, Aminolhuda berkata, pihaknya kini berbincang bagi mengisi 500 kekosongan guru KAFA di negeri itu.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada peruntukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 4:59 PM