GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Ipoh: Sejumlah 8,715 kelas Kelas Al-Quran dan Fardhu 'Ain (KAFA) sedang beroperasi di 659 Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) dan SRAR Sepenuh Masa di Perak, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani berkata sekolah berkenaan ditadbir urus oleh jemaah pengurusan sekolah yang terdiri dalam kalangan masyarakat setempat, selain bertanggungjawab menyediakan prasarana serta kemudahan bagi memastikan keselesaan murid KAFA.

Beliau berkata kerajaan negeri sudah menyalurkan bantuan kepada sistem pendidikan yang disediakan kelas KAFA, iaitu bantuan perkapita dengan kadar RM50 setahun dan bantuan perkapita daripada Majlis Agama Islam Dan Ádat Melayu Perak (MAIPk) sebanyak RM24, kepada 89,226 murid.

"Selain itu, tambahan elaun kepada 3,210 guru KAFA sebanyak RM200 sebulan dan menyediakan peruntukan RM5 juta, bagi tujuan baik pulih serta bina baharu institusi pendidikan Islam yang merangkumi Tadika Islam Perak, Sekolah Agama Rakyat dan tahfiz," katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota), yang ingin tahu jumlah kelas KAFA di Perak, selain mengapa guru KAFA seluruh Perak tidak tersenarai dalam penerima insentif yang diumumkan oleh Menteri Besar dalam belanjawan 2024.

Sementara itu, Saarani berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak, telah mewujudkan kelas KAFA Tulen yang beroperasi di sekolah kebangsaan terpilih, terutama di kawasan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan di kawasan yang jaraknya jauh daripada kelas KAFA.

Beliau berkata setakat ini terdapat enam Sekolah Kebangsaan yang telah melaksanakan kelas KAFA Tulen, dengan jumlah murid keseluruhannya seramai 286 orang dan 10 orang guru.

Enam sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Selama, Selama; SK Sungai Ramai, Ayer Tawar; SK Dato' Sagor, Kampung Gajah; Pusat Kebajikan Taman Seri Puteri, Batu Gajah; Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Slim, Slim River dan SK Kumpulan Ganda, Teluk Intan.

"Kelas KAFA Tulen melaksanakan kurikulum KAFA JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), sama seperti kurikulum yang diguna pakai di SRAR Intergrasi KAFA yang lain.

"Kelas KAFA Tulen ini juga, akan ditambah daripada semasa ke semasa berdasarkan keperluan pendidikan agama di sesuatu kawasan, untuk kerajaan negeri memastikan tiada murid yang tercicir dalam mengikuti kelas KAFA di seluruh negeri Perak," katanya.

Selain itu, Saarani berkata guru KAFA negeri Perak dan guru KAFA di seluruh Malaysia akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 daripada Kerajaan Persekutuan, seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri pada 13 Okt 2023 lalu.

"Bantuan ini akan mula dibayar setelah kerajaan negeri menerima peruntukan yang akan disalurkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 11:07 AM