GAJAH jantan liar berusia 14 tahun berjaya ditangkap Perhilitan di Kampung Hulu Kekabu, Permaisuri. FOTO BERNAMA
GAJAH jantan liar berusia 14 tahun berjaya ditangkap Perhilitan di Kampung Hulu Kekabu, Permaisuri. FOTO BERNAMA
BERNAMA

SENTUHAN dan pujukan dua gajah denak betina, Abot dan Rambai berjaya ‘menjinakkan’ seekor gajah jantan liar dalam tempoh 30 minit ketika operasi di Kampung Hulu Kekabu dekat Permaisuri, hari ini.

Dua gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang memulakan tugas ‘memikat’ gajah liar itu jam 9.30 pagi dan berjaya memujuk haiwan liar masuk ke dalam lori jam 10 pagi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk kampung mengenai kehadiran gajah liar yang merosakkan tanaman di kebun mereka pada 28 September lalu.

“Gajah jantan dianggarkan berusia 14 tahun berjaya ditangkap dan akan dipindahkan ke habitat sesuai di Taman Negara Terengganu, hari ini.

“Ini adalah gajah liar kelapan berjaya ditangkap sepanjang tahun ini,” katanya kepada pemberita di lokasi penangkapan gajah liar itu.

Sementara itu, Pembantu Hidupan Liar Rendah dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Zamrie Zoo berkata, operasi kali ini adalah paling pantas pernah dilakukan Abot dan Rambai setakat ini.

“Abot berusia 26 tahun dan Rambai berusia 36 tahun memang dilatih sejak kecil untuk menjadi gajah denak dan berkhidmat untuk ‘memikat’ gajah liar di seluruh negara sejak lapan tahun lalu.

“Setakat ini, kita ada lagi gajah denak lain seperti Kasturi (40 tahun) dan satu-satunya gajah denak jantan iaitu Alam (20 tahun). Namun, yang biasa terbabit dengan operasi adalah Abot dan Rambai kerana mereka lebih ‘mahir’ dalam memujuk gajah liar,” katanya yang berkhidmat lebih 20 tahun di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.

Tambahnya, setiap operasi pemindahan gajah liar tidak sama kerana ada yang mengambil masa hingga empat jam, bergantung kepada beberapa faktor seperti lokasi, keupayaan gajah denak dan pengendali serta anggota Perhilitan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 4:41 PM