Gambar viral Dua Gajah denak, yang dipercayai berada di Felda Pasak menjadi perhatian penduduk setempat. FOTO IHSAN PEMBACA
Gambar viral Dua Gajah denak, yang dipercayai berada di Felda Pasak menjadi perhatian penduduk setempat. FOTO IHSAN PEMBACA
Omar Ahmad


DUA gajah denak, Abot dan Rambai digunakan bagi operasi pemindahan tiga gajah liar yang ditangkap di Kota Tinggi, Johor, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, Abot, 24 dan Rambai, 37, didatangkan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang.

Katanya, operasi memindahkan gajah betina dan jantan itu bermula esok hingga 13 Ogos ini ke Taman Negara Endau Rompin.

"Saya nasihatkan orang ramai tidak terlalu menghampiri gajah gajah denak yang ditempatkan di Felda Pasak itu kerana dikhuatiri akan mengganggu proses pemindahan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jumaat lalu Perhilitan Johor berjaya menangkap tiga gajah liar di Kota Tinggi susulan serangan gajah di Batu 6, Jalan Mawai, di Kota Tinggi, pada 27 Julai dan 31 Julai lalu.

Tangkapan itu dibuat menerusi Ops Tangkapan Gajah oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) Johor bersama PKGK Kuala Gandah dengan kekuatan 12 kakitangan yang dipecahkan kepada dua kumpulan.

Tiga gajah liar berkenaan adalah sebahagian kumpulan gajah Panti yang menimbulkan konflik di sekitar kawasan Kampung Mawai, Kampung Lukut, Kampung Sendayan, Kampung Temenin, selain Felda Pasak, Felda Gugusan Lok Heng, Felda Gugusan Waha dan kawasan sekitarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 8:00 PM