GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan mengambil masa empat jam bagi memindahkan seekor gajah jantan liar seberat 3.5 tan di Kampung Bukit Selar di Jeli, hari ini.

Timbalan Pengarah PERHILITAN Kelantan Adnan Ismail berkata, gajah itu sebelum ini ditangkap Khamis lalu selepas dilaporkan memasuki dan merosakkan tanaman getah dan pisang penduduk kampung terbabit.

“Sebelum ini pihak kami menerima aduan jam 7 pagi oleh penduduk kampung dan berjaya menangkap haiwan liar itu 9.15 pagi pada hari sama.

“Gajah itu berjaya ditangkap melalui tembakan pelali oleh anggota PERHILITAN Kelantan selepas menerima aduan penduduk di kampung ini yang bimbangkan keselamatan mereka ketika berada di kebun,” katanya kepada pemberita selepas operasi pemindahan gajah itu, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan memindahkan gajah itu ke Taman Santuari Gajah Sungai Deka, Kuala Terengganu, Terengganu hari ini dengan bantuan dua gajah denak iaitu Rambai dan Abot dari Unit Gajah Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Pahang.

Adnan berkata, operasi pemindahan haiwan itu bermula pada 8 pagi dan berakhir 12 tengah hari membabitkan 25 anggota dari PERHILITAN Kelantan dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.

Beliau berkata, pihaknya percaya haiwan liar itu berkumpulan berdasarkan penemuan tapak kaki lebih daripada seekor yang berada di kawasan ini.

“Kita juga percaya gajah liar ini dipercayai daripada kumpulan gajah yang mendiami hutan di Banjaran Titiwangsa berdekatan kawasan itu.

“Awal tahun ini pihak kami berjaya menangkap dua ekor gajah liar iaitu Rabu lalu di Gua Musang dan Jeli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 3:42 PM