UNIT Tangkapan Gajah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang mengambil masa lebih tiga jam pada operasi memindahkan gajah liar jantan (tengah) di Kampung Karak Setia. FOTO Rafi Mamat
UNIT Tangkapan Gajah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang mengambil masa lebih tiga jam pada operasi memindahkan gajah liar jantan (tengah) di Kampung Karak Setia. FOTO Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Temerloh: Seekor gajah jantan yang dipercayai memusnahkan tanaman penduduk di Kampung Karak Setia, di sini, akhirnya berjaya ditangkap, kelmarin.

Tangkapan dilakukan Unit Tangkapan Gajah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang selepas menerima aduan daripada penduduk terbabit.

Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, pihaknya yang melakukan tinjauan mendapati gajah berusia 30 tahun itu berada di belakang rumah penduduk.

Menurutnya, gajah berkenaan ditembak dengan pelali di kawasan hutan berhampiran sebelum dipindahkan dengan bantuan dua gajah denak iaitu Abot dan Lasah.

Katanya, Abot dan Lasah terpaksa menarik gajah liar terbabit sejauh 200 meter untuk dinaikkan ke atas lori yang mengambil masa lebih tiga jam.

"Gajah jantan berkenaan dipercayai meninggalkan kumpulannya untuk bergerak sendirian sebelum masuk ke Kampung Karak Setia untuk mencari makan.

"Hutan Simpan Kemasul yang terletak berhampiran kampung terbabit memudahkan haiwan berkenaan mencari makanan pada waktu malam," katanya.

Operasi itu disertai 20 anggota Unit Tangkapan Gajah PKGK Kuala Gandah dan Unit Tangkapan Gajah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang.

Hadir sama, Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin dan Pakar Gajah Perhilitan, Salman Saaban.

Katanya, gajah jantan diangarkan seberat dua tan itu dipindahkan ke Taman Negeri Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 5:08 PM