Anggota PERHILITAN dan PKGK Kuala Gandah memindahkan seekor gajah jantan liar seberat dua tan ke Taman Negara Terengganu. FOTO IHSAN PERHILITAN KELANTAN
Anggota PERHILITAN dan PKGK Kuala Gandah memindahkan seekor gajah jantan liar seberat dua tan ke Taman Negara Terengganu. FOTO IHSAN PERHILITAN KELANTAN
Siti Nor Hidayatidayu Razali


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memindahkan seekor gajah jantan liar di Kampung Batu Melintang, dekat Jeli ke Taman Negara Terengganu, hari ini.

Operasi pemindahan bermula 8.30 pagi hingga 1.15 tengah hari dengan menggunakan dua gajah denak iaitu Abot dan Rambai.

Pengarah PERHILITAN Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, operasi pemindahan gajah dilaksanakan 22 anggota PERHILITAN Kelantan dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Pahang.

Katanya, operasi pemindahan gajah seberat dua tan dianggarkan berusia antara 25 hingga 30 tahun juga mendapat kerjasama Majlis Daerah Jeli dan polis yang mengawal aliran trafik.

“Gajah liar ini akan dipindahkan ke Taman Negara Terengganu menggunakan treler pengangkut dari PKGK.

“Gajah jantan liar ini ditangkap pada jam 12.30 tengah hari, Ahad lalu, di Kampung Batu Melintang selepas menerima aduan penduduk.

“Enam anggota PERHILITAN daerah Jeli melakukan pemantauan dalam operasi menangkap gajah liar itu,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, gajah jantan berjaya ditangkap adalah daripada kumpulan gajah Hutan Simpan Gunong Basor dianggarkan 30 ekor dan bilangan mengganggu kawasan pertanian lebih kurang 10 ekor.

Menurutnya, tahun ini pihaknya berjaya menangkap dan memindahkan enam gajah iaitu empat di Jeli dan masing-masing seekor di Gua Musang serta Kuala Krai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 3:59 PM