MPSP kini diisytiharkan sebagai MBSP. FOTO ROSLI AHMAD
MPSP kini diisytiharkan sebagai MBSP. FOTO ROSLI AHMAD
Nur Izzati Mohamad


MAJLIS Perbandaran Seberang Perai (MPSP) secara rasminya diisytiharkan sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berkuatkuasa hari ini.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas berkenan menyempurnakan majlis itu selepas menerima suratcara pengisytiharan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Dalam majlis sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow turut mengumumkan pelantikan Yang Dipertua MPSP, Datuk Rozali Mohamud sebagai Datuk Bandar MBSP pertama.

Hadir sama menyaksikan peristiwa bersejarah itu termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pertukaran status MPSP kepada MBSP dibuat sejurus mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebelum itu, usaha menaik taraf status MPSP kepada MBSP sudah dilakukan dengan menghantar permohonan bertulis kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Disember tahun lalu.

Pengisytiharan ini menjadikan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang kini berstatus bandar raya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 12:14 PM