Shamsul Munir Safini


SEBERANG Perai kini berstatus bandar raya dengan pengumuman Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sudah dinaik taraf kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Pengumuman itu menjadikan MBSP sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) ke-14 daripada 150 PBT yang bertaraf bandar raya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, kabinet sudah meluluskan perkara itu seperti diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin sebelum ini.

Beliau berkata, dengan pengumuman itu, Pulau Pinang adalah negeri pertama di Malaysia yang mana kedua-dua PBT di negeri itu bertaraf bandar raya dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di bahagaian pulau manakala MBSP di seberang.

“MBSP mensasarkan untuk menjadi sebuah bandar raya rendah karbon dan bandar pintar dengan menyediakan kemudahan dan pembangunan dalam bandar serta mengawal pelepasan gas rumah hijau di bawah paras global.

“Justeru itu, MBSP akan mengambil empat langkah teras susulan pengumuman itu,katanya pada sidang media di Menara MBSP, Perda, hari ini.

Beliau berkata, langkah pertama MBSP adalah menyasarkan untuk mengurangkan pelepasan karbon daripada 8.05 tCO² pada 2016 kepada 4.66 tCO² menjelang 2022.

Katanya, langkah kedua adalah meminimakan penjanaan sampah 50 peratus daripada kadar sedia ada dan meningkatkan 70 peratus kadar kitar semula menjelang 2022.

Jagdeep berkata, langkah teras ketigaialah meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan keempat menambah bilangan pokok sebanyak 150,000 menjelang 2022.

Menurutnya, secara rasmi status bandaraya akan diperoleh dalam tempoh tiga minggu lagi bagi memberi masa kepada proses dokumentasi.

Katanya, jawatan Datuk Bandar MBSP pula bagaimanapun masih belum diputuskan dan ia akan dibincang dan ditentukan di Mesyuarat Exco kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 12:15 PM